Rabu, 14 April 2010




Bandar Bukit Besi terletak kira - kira 77 km dari Bandar Kuala Terengganu. Bermula dari sebuah kampung yang penuh dengan hutan rimba dan diliputi oleh tanah paya telah berubah selepas penemuan batu - batu yang mengandungi bijih besi oleh seorang penyelidik Jepun yang bernama Mr. Kuhara seorang ahli kajibumi yang datang ke Cemuak Ulu Dungun pada tahun 1916.

Di zaman permulaan, bijih besi diangkut dengan kereta tolak dari Bukit Besi ke Kampung Dendang. Kemudian ia dibawa ke Dungun menggunakan bot. Semenjak tahun 1927, Syarikat Kuhara Mining Company telah menjalankan kegiatan melombong bijih besi secara tidak rasmi. Ia kemudian ditukar nama kepada Nippon Mining Company ( NMC ), NMC berjaya mendapat lesen melombong daripada Kerajaan Terengganu.

Pada 13.1.1929, Kerajaan Terengganu telah mengeluarkan “ Mining Lease ” kepada ( NMC ) Nippon Mining Company ( dulu Kuhara Mining Company ) dengan keluasan 1080 ekar. Kawasan tersebut adalah pecahan daripada ML 75 iaitu ML 129, ML 130, ML 131 dan ML 132. Kawasan ini ialah kawasan yang telah dikurniakan oleh Sultan Terengganu kepada seorang kerabatnya, iaitu Tengku Abu Bakar B. Tengku Abdul Jalil. Syarikat NMC memulakan kerja - kerja perlombongan bijih besi dengan melibatkan 130 orang pekerja Jepun dan 1300 orang pekerja tempatan, kemudiannya meningkat kepada 3000 orang dalam masa yang singkat.

1 ulasan: